Monday 12 February 2018

MAIN PUTERI SENI PERUBATAN TRADISIONAL


Perubatan tradisional itu antara kaedah perubatan berstruktur tertua di dunia. Ahli arkeologi membuktikan bahawa kaedah perubatan itu sudah wujud sejak 6,000 Sebelum Masihi.

Di Kelantan, satu bentuk seni perubatan tradisional ialah main puteri. Main puteri juga dikenali dengan nama lain seperti main teri atau main peteri, mengikut dailek Kelantan.

Pada masa dahulu, main puteri sangat popular dalam kalangan masyarakat sebagai salah satu bentuk hiburan selain fungsinya sebagai rawatan penyakit.

Perubatan main puteri bertujuan merawat penyakit berkaitan kekusutan jiwa seseorang iaitu penyakit yang tidak dapat dikesan dan diubati dengan perubatan moden seperti gila, terkena buatan orang, angin dan gangguan makhluk halus.

Difahamkan, terdapat dua versi berhubung sejak bila main puteri mula dimainkan sehingga berterusan menjadi unsur kebudayaan masyarakat Melayu Kelantan.

Versi pertama mengaitkannya dengan seorang anak raja yang hidup pada zaman dahulu. Sementara versi kedua pula juga dikaitkan dengan seorang puteri raja, tapi dari zaman yang berlainan.

Bagaimanapun, tujuan permainan itu diadakan sama ada untuk mengembalikan semula kekuatan jiwa puteri itu atau membentuk ‘anginnya.’

Upacara main puteri ini biasanya dikendalikan seorang bomoh yang lebih dikenali sebagai Tok Teri dan dibantu Tok Miduk.

Main puteri akan dimainkan selama satu hingga tiga malam bertujuan mengubati penyakit terutamanya rasukan makhluk halus.

Perubatan tradisional ini unik kerana adanya sekumpulan pemuzik iaitu awak-awak yang akan mengiringi Tok Teri ketika proses merawat pesakit.

Peralatan muzik yang digunakan adalah rebab, gendang, serunai dan canang.

Main puteri semakin dilupakan kerana perkembangan perubatan moden yang menyebabkan masyarakat tidak lagi atau kurang menggunakan perubatan alternatif.

Pun begitu, main puteri perlu dikekal sebagai warisan budaya, biarpun bukan sebagai satu kaedah perubatan seperti asalnya.

No comments:

Post a Comment