Sunday 4 February 2018

BANGKIT TINGKAT UPAYA UMAT ISLAM


Nasib malang umat Islam di seluruh dunia semakin meruncing. Penguasaan dan cengkaman Barat negara-negara Islam semakin kuat. 

Sekiranya umat Islam tidak bangkit meningkatkan keupayaan diri, Barat bukan saja berjaya menjajah pemikiran, budaya dan gaya hidup, tetapi merebak kepada penjajahan fizikal. Umat Islam terus menjadi mangsa kepada kelemahan diri sendiri. 

Justeru, umat Islam memerlukan strategi dan perancangan serba lengkap untuk menghadapi cabaran golbal dan kompleks. Seluruh umat Islam mesti berusaha untuk berada pada kedudukan lebih kuat bagi menghalang sebarang bentuk penindasan dan manipulasi persekitaran. 

Tanpa kuasa dan kekayaan, umat Islam terus dipandang rendah dan menjadi mangsa kepada dasar yang sengaja dicipta bagi melemahkan Islam.

Hakikatnya, umat Islam bukannya ‘the poor man of the world’ seperti yang dilabelkan oleh orientalis Barat. Barat mengcap penganut Islam sebagai anti pembangunan, berfikiran kolot, mengamalkan faham ekstrem dan berpuak-puak. 

Kepincangan hidup penganut Islam sekarang adalah berpunca keengganan mematuhi hukum agama. Sekiranya umat Islam kembali menghayati ajaran Islam, sudah pasti Islam mampu bangkit menguasai dunia. 

Setiap Muslim bertanggungjawab untuk menjadikan manifestasikan kecemerlangan Islam sebagai satu kenyataan. Firman Allah bermaksud: “Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia.” - (Surah Ali Imran, ayat 110).

Pengisian yang mendukung prinsip kecemerlangan ajaran Islam perlu disuburkan kembali dalam institusi masyarakat Islam di seluruh dunia. Negara-negara Islam perlu lebih beriltizam untuk membangunkan negara masing-masing. 

Semua Muslim mempunyai tanggungjawab mencapai kecemerlangan berdasarkan kepada nilai hidup yang dianjurkan oleh ajaran Islam. Kita perlu sentiasa menghayati pengertian jihad yang membawa kepada kebaikan. 

Setiap usaha tidak mencapai kecemerlangan jika tidak dilakukan dengan semangat yang kental dan jitu. Biarpun susah dan berdepan dengan rintangan, jika tetap istiqamah, insya-Allah akan beroleh kejayaan. 

Sikap mudah berpuas hati didorong oleh nafsu ingin bersenang-senang. Tidak ada istiqamah melawan nafsu menyebabkan umat Islam terus dilanda kemunduran. Sebab itu umat Islam perlu sentiasa berjihad melawan nafsu.

Ketiadaan keikhlasan dan keyakinan diri menjadi penyebab hilang arah perjuangan sehingga melakukan tindakan yang menyalahi jihad Islam. Kejayaan dan kecemerlangan tidak mampu dicapai jika hanya dilakukan dalam tempoh masa yang singkat. 

Rasulullah menganjurkan agar setiap usaha dilakukan dengan istiqamah dan memastikan kejayaan. 
  
Sejarah membuktikan umat Islam telah mencapai beberapa siri tamadun sehingga yang terakhir dengan jatuhnya kerajaan Othmaniah yang berpusat di Turki. Sebelum itu kita bermegah dengan tamadun kerajaan Umaiyah dan Abbasiah. 

Kejayaan Barat yang diasaskan di Eropah merupakan hasil kecemerlangan ilmu yang dicedok asasnya di kota Baghdad. Boleh dikatakan semua cabang ilmu bermula dari penyelidikan dan percambahan oleh ilmuan Islam.

Proses Islamisasi pelbagai cabang ilmu perlu dipertingkatkan agar ia menepati keperluan semasa umat Islam. Semua cabang ilmu diterima dalam Islam selagi ia mendatangkan manfaat untuk menjalankan tugas sebagai hamba-Nya.

Wujudnya fahaman yang mengasingkan ilmu akhirat dan ilmu dunia, menjadikan umat Islam keliru. Pecahan bidang ilmu lebih tepat dikategorikan kepada ilmu fardu ain dan dan fardu kifayah. 

Kedua-dua cabang ilmu tersebut saling melengkapi yang melahirkan insan yang mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. 

Melalui penguasaan ilmu, semangat yang jitu, keikhlasan, daya kreativiti, ketakwaan dan keterbukaan dalam penerimaan, tingkat keupayaan umat Islam dalam semua jurusan kehidupan akan kembali cemerlang. 

Pada hakikatnya, kejayaan Barat menguasai umat Islam berpunca daripada kelemahan umat Islam sendiri. Umat Islam bukan saja gagal memajukan diri, bahkan tidak berupaya mempertahankan hak sendiri.

Menurut Syeikh Muhammad al-Ghazali, umat Islam lebih hampir kepada mati daripada hidup, umat yang tidak berdaya berbuat apa-apa selain berteriak, retorik dan melolong, malah tidak pandai menggunakan kekayaan yang dikurniakan Allah sehingga begitu mudah ‘disedekahkan’ kepada musuh, yang akhirnya ‘menyembelih’ umat Islam sendiri.

No comments:

Post a Comment