Wednesday 20 December 2017

JADI MANGSA PELABURAN KERANA TAMAK


Kes penipuan skim pelaburan semakin membimbangkan. Bilangan individu menjadi mangsa amat mengejutkan. Jumlah kerugian ditanggung pelabur juga amat besar.

Statistik dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman satu angka mengejutkan banyak pihak.

Dalam tempoh empat tahun, seramai 1.7 juta mangsa sindiket pelaburan dilaporkan dengan anggaran kerugian RM4.9 bilion.

Angka itu berdasarkan kes dilaporkan kepada pihak polis. Berapa ramai lagi yang berdiam diri biarpun sedar telah menjadi mangsa penipuan.

Biarpun berita kes penipuan pelaburan kerap dipaparkan akhbar, masyarakat masih terpedaya. Mangsanya bukan bukan orang sebarangan. Ada golongan profesional dan cerdikwan dalam bidang kerjaya masing-masing, namun 'bodoh' mudah tertipu.

Ramai terpengaruh mengeluarkan duit simpanan, melabur dalam skim pelaburan apabila dijanjikan pulangan menarik pada masa singkat.

Budaya pelaburan tidak sihat ini perlu ditangani segera kerana memberi kesan negatif terhadap kedudukan kewangan isi rumah dan boleh merosakkan institusi keluarga serta masyarakat.

Bankrap, keruntuhan rumah tangga dan pergaduhan antara keluarga, kesan sering berlaku apabila hutang ditanggung isi rumah melebihi had kemampuan akibat terbabit dengan skim pelaburan palsu.

Semua itu berpunca daripada sikap individu yang kurang cakna terhadap risiko sebelum melabur.

Modus oprandi penipuan pelaburan biasanya berasaskan ciri-ciri priamid. Pengendali mendakwa melabur wang dalam pelbagai institusi pelaburan menguntungkan.

Sebenarnya, pelaburan dibuat itu hanya untuk mengabuli mata bakal pelabur yang akan lebur. Wang dari pelabur seterusnya digunakan untuk membayar 'untung' kepada pelabur lama.

Disebabkan mendapat untung besar seperti dijanjikan, pelabur akan melabur kembali keuntungan itu. Malah akan mencari sumber lain untuk dilaburkan untuk mendapat keuntungan lebih besar.

Mereka turut mengajak ahli keluarga dan sahabat dengan menunjukkan bukti keuntungan yang telah diperoleh. 

Objektif utama pelaburan adalah untuk mendapatkan keuntungan. Malang sekali mereka menjadi mangsa penipuan.

Memang, pelaburan tidak semestinya menghasilkan untung setiap masa. Tetapi menjadi mangsa pelaburan yang menjanjkan pulangan besar adalah tindakan yang sepatutnya boleh dielak.

Jika individu ditawarkan pelaburan dengan janji pulangan menguntungkan berkali ganda pada masa singkat, itulah ciri-ciri penipuan pelaburan.

No comments:

Post a Comment