Gunung Bubu, Gerik, Perak menjadi pilihan
di kalangan peminat kembara berjalan kaki (hiking). Gunung Bubu dikenali di
kalangan penduduk tempatan sebagai Bukit Bubu kerana ketinggiannya hanya 619 meter
dari paras laut tidak layak dipanggi sebagai gunung kerana tidak mencapai
ketinggain sekurang-kurangnya 1,000 meter dari paras laut.
Jarak denai kembara mendaki hanya kira-kira
2.67 kilometer dan mengambil masa kira-kira satu hingga dua jam mengikut
kelajuan dan ketahanan fizikal. Jarak denai turun dari puncak yang biasanya
mengambil laluan berlainan iaitu kira-kira 1.9 kilometer.
Berada di puncak menjanjikan pemandangan
360 darjah indah kawasan sekitar Gerik dan dari sini boleh kelihatan Gunung
Kenderong dan Gunung Kerunai yang terbentang luas. Gunung yang terletak di
kawasan Bersia, Gerik ini boleh dimasuki melalui jalan menuju ke Tasik
Temenggor - Pangkalan Trojan di mana pertengahan jalan akan menjumpai satu
simpang laluan masuk yang menjadi tempat permulaan menuju ke Gunung Bubu.
Keadaan trek yang perlu dilalui untuk
sampai ke Puncak Bubu, pada mulanya akan melalui kawasan yang bertanah merah
yang dikelilingi oleh pagar elektrik. Seterusnya memasuki kawasan hutan,
menjumpai sungai kecil di mana itu merupakan tempat sumber air terakhir. Perjalanan
diteruskan melalui jalan balak yang tidak lagi digunakan.
Pengembara akan menemui lokasi yang
dikenali Syurga Lumut. Kawasan agak luas dipenuhi dengan tumbuhan berlumut. Ia
menjadi lokasi “wajib” untuk bergambar yang pasti pemandangannya amat menarik. Telah
ada laluan dibuka agar pengunjung tidak perlu memijak lumat tersebut agar ia
tidak musnah.
Di Gunung Bubu terdapat kawasan untuk
berkemah kepada pengembara yang ingin bermalam. Namun, kebanyakan pengembara
mengambil keputusan tidak berkhemah, sebaliknya melakukan kembara ke puncak dan
berada sekejap sahaja sebelum bertolak turun.
Menariknya, biasanya rombongan kembara akan
mula mendaki pada waktu malam. Ada pihak yang menjadi penganjur atau pemandu
kembara. Mereka akan berkumpul seawal pukul 1.00 pagi di Hentian Perah.
Kira-kira pukul 2.00 pagi pula akan mula
menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk bergerak ke titik permulaan pendakian
yang biasanya bermula pada pukul 3.00 pagi. Kembara mendaki pada waktu malam
biasanya mengambil masa selama dua hingga tiga jam.
Selewat-lewatnya pengembara akan sampai di
puncak pada pukul 6.00 pagi yang memberi peluang untuk bersembahyang subuh dan
seterusnya menikmati pemandangan matahari terbit. Kembara ke puncak Gunung Bubu
ini akan melalui 3 titik pemeriksaan (CP) iaitu CP 5 Ringgit, CP Cadburry dan
CP Dinding Bubu.
Selepas berehat seketika, bersarapan pagi
dan bergambar, kira-kira pukul 8.30 pagi kembara telah bertolak turun dan satu
jam setengah kemudian dijangka akan sampai di tempat pemulaan, sebelum menaiki
kenderaan pacuan empat roda untuk ke Hentian Perah yang menjadi lokasi meletak
kenderaan masing-masing.
Sebenarnya di Perak terdapat tiga Gunung
Bubu. Selain Gunung Bubu (Bukit Bubu) di Gerik, satu lagi Gunung Bubu terletak
di Ulu Kenas, Kuala Kangsar dengan ketinggian 1.657 meter dari paras laut. Satu
lagi Gunung Bubu ialah yang terletak di sempadan Perak – Kelantan dengan
ketinggian 1974 meter dari paras laut.
No comments:
Post a Comment