Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO)
yang ditubuhkan pada 1963 telah melakar banyak kejayaan bermakna dalam
mengangkat martabat wanita Malaysia.
Seawal 1961 lagi, jawatankuasa penaja yang
dibentuk lapan organisasi pengasas berjaya merayakan Hari Wanita yang pertama
pada 25 Ogos 1962, satu tarikh yang dipersetujui Tunku Abdul Rahman Putra
Al-Haj yang merasakan bahawa negara harus menghargai wanita terlebih dahulu
sebelum merayakan kemerdekaan dan mengiktiraf sumbangan besar wanita dalam
memperoleh kemerdekaan. Tunkulah juga yang melantik menteri wanita pertama pada
1969.
Berpegang kuat kepada nilai perpaduan,
keharmonian, keamanan, kesaksamaan dan keadilan, struktur organisasi dan gerak
kerja NCWO melambangkan penghormatan yang jitu terhadap kepelbagaian etnik dan
kepentingan di kalangan ahli bersekutunya.
Kejayaan pertama NCWO adalah mengesyorkan
kepada kerajaan untuk menukar status pekerja wanita yang berkahwin daripada
berjawatan sementara kepada berjawatan tetap dan berpencen menerusi
penguatkuasaan Akta Persaraan (Pindaan) 1968.
Seterusnya dasar gaji sama bagi pekerjaan yang
sama nilai dan wanita berkahwin diiktiraf sebagai seorang yang mempunyai hak
individu menerusi Akta Cukai Pendapatan (Pindaan) 1975 yang membenarkan
penaksiran berasingan untuk mereka.
Dalam perhimpunan Hari Wanita pada 1975,
Tun Abdul Razak Hussein mengumumkan pembentukan Majlis Penasihat Kebangsaan
bagi Integrasi Wanita dalam Pembangunan (NACIWID). Majlis ini ditubuhkan oleh
Tun Hussein Onn dan menjadi titik tolak kepada pembentukan jentera kerajaan
yang dinaik taraf dari sebuah unit ke bahagian, jabatan dan akhirnya
kementerian.
Pada 2001, Kementerian Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat ditubuhkan di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir
Mohamad. Dalam tempoh itu juga, Dasar Wanita Kebangsaan digubal dan satu bab
mengenai wanita dalam pembangunan diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia
Keenam. Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk menghalang
diskriminasi berasaskan gender.
Pada 2004, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengisytiharkan
sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus wanita memegang jawatan pembuat keputusan
dalam perkhidmatan awam. Pada 2011, Datuk Seri Najib Razak membuat pengumuman
yang sama bagi sektor swasta.
Tidak dinafikan wanita Malaysia menunjukkan
kemajuan mengagumkan dalam hampir semua bidang, terutama pendidikan sejak 50
tahun lalu. Nisbah 60:40 peratus wanita berbanding lelaki di universiti
hanyalah satu contoh untuk menggambarkan keadaan tersebut.
No comments:
Post a Comment