Satu peraturan mudah dalam organisasi ialah
pengikut perlu mematuhi kepemimpinan organisasi. Kepatuhan diperlukan bagi
memastikan matlamat organisasi berjaya dicapai.
Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai
orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada
Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang berkuasa) daripada kalangan kamu,” – (Surah
al-Nisa, ayat 59).
Kepatuhan pengikut kepada pemimpin amat
penting. Tanpa kesetiaan, organisasi tidak akan berfungsi dengan baik.
Adalah menjadi tanggungjawab yang dipimpin
mentaati dan mengikuti arahan diberikan selagi sesuatu kepemimpinan itu
menjalankan tugas dengan penuh amanah dan tidak menyuruh atau melakukan
perbuatan atau arahan yang melanggar hukum Islam.
Ketaatan kepada pemimpin tidak terhad
kepada perkara yang disukainya saja, tetapi menyeluruh sama ada perkara itu
disukai atau dibenci.
Seseorang pemimpin tidak mungkin dapat
memimpin dengan berkesan seandainya ada sekumpulan pengikut atau ahli
organisasi yang sentiasa mempunyai pandangan negatif, tidak mempunyai matlamat
sealiran dengan pemimpin dan tidak pernah bersetuju dengan pandangan dan
pemikirannya.
Maka itu, kejayaan organisasi bergantung
kepada ketaatan atau keupayaan pengikut melakukan apa yang diarahkan atau
ditetapkan pemimpin.
Keberkesanan kepemimpinan sesebuah
organisasi bergantung kepada beberapa faktor, diri pemimpin itu sendiri,
situasi dalam organisasi dan faktor yang mempengaruhi kelakuan dan peranan ahli
organisasi.
Gaya kepemimpinan yang dipraktikkan ketua
mungkin berkesan di dalam sesuatu keadaan dan tidak berkesan di dalam sesuatu
keadaan lain. Maka itu pemimpin kreatif menyesuaikan gaya kepimpinan. Paling
penting, jangan ego dengan kejayaan menjadi pemimpin di tempat lain. Lain
padang lain belalang.
Kepemimpinan yang berkesan sewajarnya peka
dan sensitif dengan segala perubahan dalam persekitaran. Seterusnya melengkapkan
diri dengan segala ilmu yang dapat membantu untuk mengurus dan menyesuaikan
diri dengan segala situasi dan persoalan yang dihadapi.
Pada masa sama mewarnakan diri dengan perhiasan ketakwaan, keilmuan, hikmah dan
kebijaksanaan di dalam mentadbir sesuatu organisasi atau syarikat.
No comments:
Post a Comment