Monday 16 July 2018

RASULULLAH BIJAK MERANCANG PERANG SARAF

Gerak saraf dan perang saraf penting untuk memenangi peperangan. Nabi Muhammad SAW antara pemimpin tentera yang bijak mengendalikan gerak saraf dan perang saraf sebagai memberi motivasi serta keyakinan kepada tentera Islam. 

Peperangan bukan terhad melibatkan senjata dan kekuatan fizikal tentera semata-mata. Malah, peperangan turut melibatkan kekuatan mengendalikan propaganda atau dikenali gerak sarag dan perang saraf.  

Keberkesanan perang saraf dilihat sebagai tenaga dalaman yang diakui lebih kuat dan kebal untuk menghadapi peperangan sebenar secara fizikal.

Perang saraf termasuk dalam taktik perperangan. Kebijaksaan menyusun taktik peperangan adalah elemen utama menyumbang kejayaan kepada pasukan tentera.  

Banyak kejayaan kejayaan tentera Islam dalam peperangan hasil penelitian Rasulullah mengendalikan perang saraf. Rasulullah pernah memimpin sebanyak 28 peperangan dalam tempoh selama 10 tahun memerintah di Madinah. 

Baginda mampu menaikkan semangat tentera Islam melalui ucapan dan perbuatan yang memberi keyakinan dan kekuatan untuk menghadapi tentangan tentera musuh yang diketahui lebih ramai, berpengalaman, mempunyai kelengkapan lebih baik dan terlatih. 

Dalam membina kekuatan tentera Islam, Rasulullah amat menekankan kepada pembinaan jati diri. Sesungguhnya kekuatan sebenar angkatan tentera bergantung kepada kekuatan rohani, semangat wira, semangat berpasukan dan disiplin ketenteraan. Moral tentera Islam dalam setiap peperangan amat tinggi.   

Rasulullah mengadakan strategi perang saraf untuk membina keyakinan diri di pihak tentera Islam. Jaminan balasan syahid yang mendapat balasan terbaik di sisi Allah menjadi pendorong kepada membina kekuatan tentera Islam. 

Selain itu, Rasulullah sentiasa memberi gambaran kelemahan tentera musuh sebagai menaikkan keyakinan tentera Islam.   

Perang saraf kini banyak dilakukan dalam perang moden. Ia banyak dilakukan melalui penguasaan media cetak dan elektronik. Berita-berita mengenai kemampuan diri sendiri ditonjolkan bagi mendatangkan rasa takut dan melemahkan psikologi pihak musuh. Sokongan moral daripada rakyat sendiri dan masyarakat antarabangsa diraih melalui perang saraf.

Termasuk dalam perang saraf ialah menyebarkan kelemahan dan kekalahan yang dialami pihak musuh. Berita itu perlu menjadi topik utama. Malah, banyak berita tidak tepat disebarkan sebagai satu elemen perang saraf. Pengaruh editor, pemberita dan koluminis amat diperlukan untuk menjayakan perang saraf.  

Justeru, perang media tidak kurang hebatnya ketika perang fizikal sedang berlangsung. Setiap maklumat berbentuk perang saraf daripada pihak musuh dipintas kembali dan dikemukakan pula maklumat yang juga berbentuk perang saraf. 

Perang saraf bukan sahaja digunakan semasa peperangan bersenjata, bahkan dalam pertandingan pelbagai situasi dan peringkat. Penyebaran propaganda dan khabar-habar angin disebar untuk meningkatkan imej diri atau kumpulan sendiri dan pada masa yang sama melemahkan pihak lain.

Sekarang ini masyarakat Islam di seluruh dunia diserang dengan berita berbentuk propaganda bagi memberi tekanan sehingga melumpuhkan kekuasaan dan ekonomi umat Islam. Imej umat Islam tercemar teruk apabila seluruh masyarakat Barat menunding jari mengaitkan segala keganasan dengan Islam.    

Ketika berdepan dengan ancaman imperial media Barat, umat Islam perlu membina rangkaian maklumat yang lebih adil, telus dan tepat. Kita memerlukan lebih banyak wartawan, editor dan kolumnis yang memahami inspirasi dan keperluan masyarakat Islam. 

Rangkaian media elektronik dan media cetak dikuasai oleh orang Islam perlu ditambah. Ia diharapkan dapat mengimbangi kekuatan perang saraf yang diwujudkan oleh media Barat. 

Maklumat dan laporan yang disediakan oleh media Barat lebih bersifat perang saraf bagi memberi tekanan kepada umat Islam. Mana-mana negara dan pemimpin yang tidak tunduk kepada acuan Barat akan berdepan dengan serangan perang saraf melalui media.  

Perang saraf terhadap kekuatan umat Islam yang dicipta oleh Barat perlu diatasi dengan bijaksana, yakin, bersatu padu dan mengurangkan pengatungan kepada pihak lain. Tindakan secara ekstrem akan dijadikan elemen oleh Barat untuk lebih menekan kedudukan umat Islam.   

Orang Islam perlu mempunyai pandangan positif terhadap orang Islam lain. Ia bagi memperkukuhkan tali persaudaraan dan mengelak salah sangka. Media Barat sentiasa menyebarkan keburukan orang Islam sebagai cara melaga-lagakan sesama Islam.

Usaha memerangi perang saraf juga merupakan jihad yang wajib terhadap setiap Muslim. Jihad memerangi perang saraf samalah seperti persiapan menghadapi peperangan fizikal. Segala kekuatan dan kemampuan perlu digabungkan untuk mencapai kejayaan dan matlamatnya.

Firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 60 bermaksud: “Dan bersiap sedialah untuk menentang mereka (musuh Islam) dengan segala jenis kekuatan yang mampu kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap, yang mana (dengan persediaan itu) dapat menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu.”

No comments:

Post a Comment