Friday 5 February 2021

BAIK BURUK PISANG MASAK DI POKOK

Pokok pisang antara tanaman yang ditanam di kawasan laman rumah sekadar dua tiga pokok. Selain untuk mendapatkan buah, daun pisang diambil untuk kegunaan tertentu dalam proses penyediaan makanan. Pokok pisang juga dianggap penghias laman daripada dibiarkan kosong.

Buah pisang biasanya dipetik atau diambil apabila buahnya matang. Buah pisang sedia dituai selepas kira-kira dua setengah hingga lima bulan dari mula keluar jantung pisang. Namun begitu, penuaiannya adalah bergantung kepada jenis pisang tersebut.

Pisang mula dipetik pada peringkat hijau matang. Kebiasaannya, buah pisang tidak dibiarkan masak di pokok. Ini adalah untuk mengelakkan pisang masak tidak serata atau dimakan oleh haiwan. Dalam sesetengah kes, buah pisang kini turut menjadi sasaran pencuri kerana harganya mahal di pasaran.

Untuk jumlah yang sedikit, memadailah dengan hanya membalut pisang dengan kain atau guni jerami. Ia bertujuan supaya suhu yang terperangkap membolehkan pisang masak dengan baik.

Manakala kebanyakan peruncit tempatan meletakkan kalsium karbida ke dalam kelompok pisang yang hendak diranumkan.Jika hendak memastikan pisang masak pada waktu yang dikehendaki, caranya ialah dengan mengawal peroses pemeraman. Ia dilakukan dengan mengubahsuaikan suhu sekeliling berserta penyimpanan pada suhu rendah, 14 C. Kaedah peranuman jenis ini dilakukan ke atas pisang-pisang yang hendak dieksport.

Jika buah dibiarkan masak di pokok, ia akan bermula dengan buah yang berada di sikat paling atas atau dipanggil pisang tadah embun. Ia akan diikuti buah di sikat yang bawah. Buah pisang dibiarkan masak di pohon lebih sedap dan manis.

Kadar masa untuk keseluruhan buah masak dipokok untuk satu tandang bergantung kepada jenis pisang. Ada yang mengambil masa sehingga 10 hari dan ada sekadar dua atau tiga hari sahaja.

Antara jenis pisang yang mengambil masa lama untuk masa keseluruhan satu tandang ialah pisang kebatu. Manakala paling cepat (berdasar pemerhatian) ialah pisang serendah.

Untuk masak sekata, elok pisang terus ditebang apabila buah tadah embun mula masak. Kalau dibiarkan ia akan menjadi habuan binatang atau rosak kerana terlalu ranum sebelum yang di bawah juga masak.

No comments:

Post a Comment