Monday 4 June 2018

DUNIA TEMPAT KUMPUL BEKALAN AKHIRAT


Islam yang tidak memisahkan kehidupan dunia semata-mata mengejar kehidupan di akhirat. Dunia adalah ladang untuk manusia bercucuk tanam bagi mengumpul bekalan hidup di akhirat. 

Kekayaan harta benda yang digunakan seperti dianjurkan agama dengan mengeluarkan zakat, sedekah, jihad ke jalan Allah, dan memakmurkan alam ini menjadi sebahagian bekalan di akhirat

Sesiapa berusaha mencari kekayaan dan kesenangan hidup di dunia kerana mematuhi tuntutan agama dan melakukan apa yang disyariat, dialah orang yang beroleh kejayaan di dunia dan akhirat. Allah memerintahkan manusia mencari kebahagiaan hidup di akhirat, tetapi tidak melupakan untuk mencari kesenangan hidup di dunia.

Firman Allah dalam surah al-Qashash ayat 77 bermaksud: “Dan carilah kebahagiaan di akhirat yang telah Allah janjikan kepada kamu. Tetapi, janganlah pula kamu lupa akan habuan kamu di dunia.”  

Pengurusan sumber ekonomi dalam Islam lebih mementingkan kepentingan manusia sejagat. Tidak ada orang dapat melakukan sesuka hati semata-mata merebut harta kekayaan. Islam menegah semua bentuk ketidakadilan ekonomi turut melibatkan ketidakadilan sosial.

Konflik ekonomi tercetus apabila masyarakat Barat mentakrifnya sebagai sains sosial yang mengkaji usaha-usaha manusia menggunakan sumber-sumber ekonomi yang terhad untuk memenuhi kehendak-kehendak manusia yang tidak terbatas. Kehendak yang tidak terbatas melibatkan sifat tamak, tidak bersyukur dan cintakan dunia. 

Masyarakat Barat mengagung-agungkan fahaman kapitalis yang menjadikan usaha memiliki kekayaan sebagai matlamat hidup. Dalam kapitalisme tidak mengambil kisah soal ketuhanan atau peraturan agama dalam urusan ekonomi. 

Golongan kapitalis menggunakan asas undang-undang dalam menentukan hala tuju pengurusan ekonomi, yang mana undang-undang itu sendiri telah ditentukan oleh mereka. 

Undang-undang boleh diubah-ubah mengikut apa yang diingini oleh pihak yang berkuasa menentukan di parlimen atau badan yang meluluskan undang-undang.  

Kapitalis berpegang kepada falsafah bahawa harta menjadi milik mutlak pemiliknya. Sebab itu pemiliknya mempunyai kebebasan untuk menggunakan, asalkan tidak menyalahi undang-undang. Bahkan, terkadang-kadang undang-undang tidak lagi bermakna bagi kapitalis asalkan matlamat mendapat harta tercapai.

Ini sama sekali bertentangan dengan konsep harta dalam Islam yang mana hanya satu pinjaman.  Manusia sebagai pengurus harta mesti mendapatkan dan menggunakan mengikut batasan syariat. 

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah harta-harta dan anak-anak kamu melalaikan kamu daripada mengingati Allah, barangsiapa berbuat demikian, maka mereka sebenarnya orang yang rugi.” (Surah al-Munafiqun, ayat 9).

Sesiapa menjadikan kesenangan hidup di dunia sebagai matlamat utama, maka dia akan beroleh kesesatan. Mereka tertipu dengan keindahan dunia dan melupai janji Allah untuk kehidupan akhirat.

No comments:

Post a Comment