Monday 4 June 2018

GARIS PANDUAN PENGURUSAN EKONOMI ISLAM


Secara konsepnya, Islam telah menetapkan garis panduan pengurusan ekonomi bagi memastikan kesejahteraan hidup manusia dan seluruh makhluk di dunia. Ekonomi Islam bukan sekadar menguruskan dana atau kewangan, tetapi turut merangkumi pengurusan sumber tenaga manusia, sumber alam dan memakmurkan kehidupan di alam ini.
 

Semua sumber ekonomi bukan menjadi hak mutlak manusia, sebaliknya sekadar dipanjamkan kepada manusia untuk diuruskan. Sebab itu pengurusan sumber ekonomi perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan pemiliknya, yakni Allah yang menguasai seluruh alam ini. Hal ini mudah difahami kerana manusia sendiri adalah hamba-Nya.  

Sebagai pengurus sumber, manusia dipertanggungjawbkan mengurus, mengguna dan memanfatkan sumber ekonomi untuk kegunaan diri sendiri, keluarga dan pihak lain yang berhak mendapatnya. Kekayaan yang dimiliki bukan menjadi hak mutlaknya. 

Sistem pengekonomian Islam mengutamakan kesejahteraan hidup dan menolak sebarang ketidakadilan yang wujud disebabkan kerakusan mengejar kekayaan. Banyak individu dicela disebabkan kekayaan yang dimiliki. Peristiwa Qarun dibenamkan ke dalam bumi bersama-sama kekayaannya memberi peringatan agar manusia tidak bongkak dan terlalu mencintai kekayaan.   

Segala kekayaan dan perolehan yang diperoleh melalui usaha dilakukan di dunia ini hanya sebagai pinjaman. Tidak ada orang yang dapat membawa apa yang dimiliki di dunia ini ke alam akhirat. Sebaliknya, manusia menuju ke alam akhirat sekadar berbekalkan amalan yang dilakukan dalam bentuk pahala dan dosa.

Sebab itu tidak berbaloi bagi seorang beriman melakukan sesuatu yang bertentangan dengan syariat dalam pengurusan harta semata-mata kerana sayang atau cintakan kekayaan. Kekayaan perlu dicari dan digunakan sebagai memegang amanah Allah agar manusia memakmurkan muka bumi.

Sesiapa berusaha mencari kekayaan dan kesenangan hidup di dunia kerana mematuhi tuntutan agama dan melakukan apa yang disyariat, dialah orang yang beroleh kejayaan di dunia dan akhirat. Allah memerintahkan manusia mencari kebahagiaan hidup di akhirat, tetapi tidak melupakan untuk mencari kesenangan hidup di dunia.

Firman Allah dalam surah al-Qashash ayat 77 bermaksud: “Dan carilah kebahagiaan di akhirat yang telah Allah janjikan kepada kamu. Tetapi, janganlah pula kamu lupa akan habuan kamu di dunia.”  

Orang beriman membelanjakan hartanya semata-mata memenuhi kehendak agama. Mengeluarkan zakat adalah wajib bagi harta yang cukup haul dan nisabnya. Manakala sedekah adalah amalan yang amat dituntut dilakukan bagi sesiapa yang mampu.

No comments:

Post a Comment