Monday 11 October 2021

KAMPUNG BAN PECAH, TANJUNG PIANDANG

Mukim Tanjung Piandang merupakan salah satu mukim di daerah Kerian yang merupakan "Jelapang Padi Negeri Perak". Bentuk muka buminya yang rata menjadikan aktiviti pertanian sebagai pendapatan utama penduduk di kawasan tersebut.

Salah satu lokasi penanaman padi di Tanjung Piadang ialah di Ban Pecah. Namun, keluasan kawasan penanaman padi di kawasan terutama mengecil berbanding sebelumnya.

Kawasan tersebut merupakan kawasan penanaman sawah padi yang subur pada sekitar tahun 1960-an. 

Bagaimanpun, akibat kerap berlaku hakisan ombak menyebabkan ban atau batas yang menghalang air laut masuk ke sawah telah pecah. Akibat itu, kawasan penanaman padi atau sawah telah menjadi sebahagian daripada laut. 

Kejadian ban pecah itu telah menjadikan tempat itu sebagai Kampung Ban Pecah. 

Untuk mengatasi masalah hakisan tersebut, kerajaan telah menambak pesisir pantai dengan batu sepanjang kira-kira empat kilometer bermula dari Sungai Baru ke Sungai Burung sehingga ke Kampung Nelayan Baru. 

Kawasan yang landai dan disulami dengan bongkah-bongkah batu di sepanjang pesisir pantainya begitu menarik perhatian. 

Bongkah-bongkah batu itu disusun bagi mengekang hakisan ombak. Di sepanjang tebingnya pula, terdapat pohon-pohon rendang menjadikan suasana di situ sentiasa redup dan nyaman. 

Itulah Kampung Ban Pecah yang terletak dekat Tanjung Piandang, Perak yang menjadi tempat bersantai dan menjamu selera bagi penduduk daerah Kerian.

Terletak kira-kira lima kilometer dari bandar Parit Buntar, lokasi ini dikunjungi sehingga lewat malam untuk menjamu selera. Menu utama pilihan pengunjung adalah kari ikan sembilang yang tidak asing lagi serta mi udang Tanjung Piandang.

No comments:

Post a Comment