Wednesday 26 February 2020

CARA SYAITAN SESATKAN MANUSIA


Syaitan menggunakan dua cara untuk mewujudkan pintu godaan ini iaitu lisan dan perbuatan. Cara lisan lebih hebat daripada perbuatan kerana di situlah terhimpun segala pujuk rayu dalam jiwa. Lisan juga merbahaya kepada tubuh manusia kerananya juga akan membawa hidup penuh sengsara di dalam neraka.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jagalah lisanmu, kecuali untuk berkata baik, sebab dengan demikian itu engkau dapat mengalahkan godaan syaitan”. (Hadis riwayat Thabrani)

Bagi menghindari dari syaitan menguasai diri kita, maka antaranya hendaklah kita sentiasa mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dengan memohon perlindungan daripada-Nya, sentiasa membaca ayat-ayat suci al-Quran, mencegah diri dari berbicara yang berlebihan, memelihara mata, telinga, hati dan segala anggota, membuang amalan-amalan syaitan seperti ketawa yang berlebihan, berjalan di waktu senja dan yang terakhirnya yang mesti kita lakukan ialah jihad melawan segala bentuk tipu daya Syaitan.

Banyak manusia hari ini hidup berhatikan syaitan atau dengan kata lain menjadikan syaitan sebagai saudara mereka. Apabila syaitan menguasai diri manusia, mereka sudah tidak merasa takut untuk melakukan apa saja termasuklah perbuatan di luar batas kemanusian. 

Lihatlah sahaja apa yang berlaku pada masa kini seperti perbuatan membunuh kanak-kanak kecil yang tidak berdosa, bahkan bukan setakat dibunuh tetapi kanak-kanak tersebut di dera, disiksa dengan begitu kejam serta dibakar. Malah pada hari ini juga ada orang-orang tua yang menjadi mangsa kepada saudara mara sendiri seperti dibiarkan terabai dan diperlakukan dengan begitu kejam.

Kita juga menyaksikan pada hari ini bagaimana rakusnya nafsu manusia yang dikuasai oleh syaitan seperti kes sumbang mahram, bapa merogol anak sendiri, kes isteri curang sehingga bersekedudukan, kes pembuangan bayi yang tiada kesudahannya dan lain-lain lagi.

Perbuatan ini berlaku kerana diri dan hati manusia yang bertindak kejam itu sebenarnya telah dikuasai oleh syaitan. Ingatlah, bahawa kejadian-kejadian yang berlaku masa kini seperti gejala sosial, keruntuhan akhlak, kes-kes jenayah, pembunuhan, penindasan sesama manusia, membunuh diri dan melakukan kejahatan, kezaliman  keatas makhluk-makhluk Allah adalah perbuatan yang dipengaruhi syaitan.

Ketahuilah bahawa mereka yang menjadikan nafsu dan syaitan sebagai petunjuk kehidupan akan menemui kegagalan akhirnya. Mereka sentiasa resah kerana sentiasa diburu rasa bersalah, bukan sahaja kepada Allah SWT tetapi juga kepada diri sendiri. Golongan ini tidak akan diberi petunjuk oleh Allah SWT dan di akhirat kelak mereka akan di azab dengan api neraka yang amat pedih. 

Marilah sama-sama kita kembali ke jalan yang benar dengan melakukan amal soleh, menutup segala pintu syaitan dan kemungkaran serta mengingati akhirat agar kita sedar tentang hakikat kehidupan ini.

Renungkan firman Allah SWT dalam surah al-Hadid ayat 21 yang bermaksud: “Berlumbalah kamu untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Rasul-Nya, itulah kurniaan Allah, diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki dan Allah mempunyai kurnia yang besar”.

No comments:

Post a Comment