Sunday, 5 January 2025

MUZIUM ISLAM, PAMER WARISAN SEJARAH

 
Muzium Islam ini merupakan salah satu muzium yang terdapat di Kelantan yang berfungsi sebagai institusi mengumpul, menyelidik, memelihara, dan mempamerkan warisan sejarah sosial budaya masyarakat Islam.
 
Matlamat penubuhan Muzium Islam ini ialah sebagai media dakwah dan pendidikan Islam dengan hasrat menimbulkan rasa cinta dan bangga dengan agama Islam yang dianuti oleh rakyat di Kelantan.
 
Muzium Islam dirasmikan oleh Sultan Ismail Petra Ibni Sultan Yahya Petra pada 11 November 1991.
 
Pada permulaannya, Muzium Islam ditempatkan di sebuah bangunan yang pernah menjadi pejabat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di Jalan Sultan, Kota Bharu bersebelahan dengan Masjid Muhammadi, Padang Merdeka dan Muzium Perang (Bank Kerapu).

Pada 20 Julai 2023, Muzium Islam berpindah ke Aras 3, Bangunan UTC Kelantan, Kota Bharu dan dirasmikan oleh Datuk Mohd Amar bin Abdullah, Timbalan Menteri Besar Kelantan.
 
Secara umumnya Muzium Islam baru ini terbahagi kepada beberapa segmen iaitu Sejarah Kedatangan Islam ke Nusantara, Pameran Tokoh-tokoh Islam Kelantan, Pameran Kegemilangan Saintis Islam dan Galeri Tuan Guru Tan Sri Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat yang merupakan ahli politik Malaysia dan bekas Menteri Besar Kelantan.

Muzium ini berfungsi sebagai institusi bagi mengumpul, menyelidik, memelihara dan mempamerkan warisan sejarah sosial budaya masyarakat Islam. 

Antara koleksi-koleksi pameran di sini ialah artifak, gambar-gambar, rajah-rajah yang berkaitan dengan sejarah kedatangan Islam ke Kelantan-Nusantara, tokoh-tokoh agama Islam, Jabatan Agama, MAIK dan berbagai koleksi dari Negara-negara Islam. 

No comments:

Post a Comment