Tuesday 5 November 2024

PENGASAS BERAS FAIZA ASAL MESIR

 
Jenama Faiza cukup terkenal di Malaysia. Tetapi berapa banyak orang tahu bahawa pengasasnya memulakan bisnes dengan modal serendah RM4. Lagi menarik, pengasas beras Faiza bukan orang tempatan. Beliau asalnya suri rumah berbangsa Arab Mesir yang berkahwin dengan rakyat Malaysia.

Nama pengasas syarikat Faiza ialah Faiza Bawumi Sayed Ahmad. Beliau berasal dari Kaherah, Mesir dan lahir pada 9 Mac 1942. Semasa zaman mudanya, beliau pernah bekerja di kedai ayahnya sebagai juruwang.

Pada usia 16 tahun, beliau berkahwin dengan Abu Bakar Ahmad, seorang pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir. Pada tahun 1964, beliau berhijrah ke Malaysia mengikut suaminya bersama anak sulung yang ketika itu berusia empat tahun. Beliau tinggal di Batu Pahat, Johor.

Suaminya, Abu Bakar bekerja sebagai kadi sehingga memegang jawatan sebagai hakim Mahkamah Syariah.

Biarpun suaminya berjawatan agak baik, namun beliau tidak betah duduk diam di rumah. Selain memasak, beliau menjahit dan berniaga bermula dengan memandu kereta, van hinggalah lori satu tan.

Semasa beliau berpindah ke Batu Pahat, beliau masih tak mampu bercakap bahasa Melayu dengan fasih. Namun, disebabkan sikap peramah beliau dengan jiran-jiran, beliau akhirnya menjadi fasih dengan hanya tiga bulan sahaja.

Berbekal kemahiran dalam bidang jahitan yang mana beliau mempunyai diploma dalam bidang jahitan, beliau memulakan bisnes sulam-menyulam dengan modal serendah RM4.

Pada permulaan, beliau menjahit mengambil tempahan menjahit baju anak-anak jiran dan menjual sarung bantal. Pada tahun 1968, beliau menjual pula rempah buatan sendiri di bawah jenama cap Bunga Raya. Disebabkan sambutan yang menggalakkan, beliau membeli sebuah mesin pengisar dan membuka kedai runcit menggunakan modal daripada hasil keuntungan menjual rempah tersebut.

Apabila sudah ada kedai sendiri, beliau mula belajar mengenai jenis-jenis beras yang ada di Malaysia. Masa itu, beliau perasan yang pemborong beras di Malaysia tidak ada yang datang daripada orang Islam, maka beliau nekad mencebur dalam bidang pemborongan beras.  

Beliau memohon lesen pemborong beras dan mula menjual pelbagai jenis beras yang kita kenal sekarang seperti ponni, beras wangi, beras Siam dan basmathi.

Sebagai seorang usahawan, beliau mempunyai sifat berani mengambil risiko yang tinggi. Untuk mempromosikan pemakanan sihat, beliau bekerja sama dengan Universiti Putra Malaysia yang memang pakar dalam bidang sains pertanian untuk mengkaji khasiat beras ponni. Hasil kajian mengesahkan beras ini bagus untuk penghidap diabetes.  

Beliau pernah melabur jutaan ringgit untuk memohon hak eksklusif daripada BERNAS untuk produk Taj Mahal. Beliau juga berazam untuk menjadi pembayar zakat terbesar di Malaysia.

Kini, perniagaan milik beliau sudah dikenali dengan nama Syarikat Faiza Sdn. Bhd yang ditubuhkan pada tahun 1982, sebagai antara syarikat paling terkenal di Malaysia dalam perihal pemborongan beras.

Syarikat ini juga menjual pelbagai produk runcit seperti bihun, sos cili, kicap dan rempah ratus. Pada tahun 2010, beliau memenangi anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di atas sumbangan dan usahanya dalam dunia beras.

No comments:

Post a Comment