Imam Nawawi termasuk di kalangan tokoh
ulama silam yang terkenal. Namanya ialah Muhyiddin Abu Zakaria Yahya bin Syirfu
al Nawawi. Dilahirkan di Nawa sebuah wilayah di Damsyik pada bulan Muharram
tahun 631 Hijrah. Kebolehan menghafaz Al-Quran sejak kecil lagi. Pada tahun 649
Hijrah, ketika berusia lingkungan sembilan belas tahun telah pergi ke kota
Damsyik untuk belajar. Mendalami ilmu di madrasah al-Ruwahiyyah.
Karangannya adalah banyak, di antara
kitabnya yang begitu popular dalam pengajian ilmu ialah Matan al-Arbain (hadis
40), Riyadhus Salihin, Syarah Sahih Muslim dan al-Adhkar.
Kehidupannya dihabiskan kepada bakti dan
khidmat suci terhadap penyebaran dam perkembangan ilmu pengetahuan Islam. Makan
minumnya hanya sekali dalam sehari, sekadar memelihara kesihatan badannya. Juga
tidak sangat menghiraukan akan soal pemakaian dan perhiasan, cukuplah apa yang
memadai sahaja. Tidak juga gemar akan makan buah-buahan kerana khuatir akan
mengantuk yang akan mengganggu tugas sehariannya.
Seorang yang begitu bertakwa menurut erti
kata sepenuhnya, waraknya dan kebersihan jiwanya. Seorang ulama yang amatlah
suka ditemui. Ada juga riwayat yang mengatakan bahawa keengganan beliau untuk
makan buah-buahan di Damsyik itu bukan hanya khuatir akan mengantuk tetapi
kerana buah-buahan di Damsyik pada ketika itu banyak mengandungi syubhat.
Sepanjang hayatnya sentiasa istiqamah dalam
menjalankan kewajipan menyebarkan ilmu dengan mengajar dan mengarang di samping
sentiasa beribadah di tengah-tengah suasana hidup yang serba kekurangan,
sehingga hidupnya dilingkungi oleh usaha dan amal soleh terhadap agama,
masyarakat dan umat.
Beliau pernah diusir keluar dari negeri
Syam oleh Sultan al-Malik al-Zahir yang tidak senang akan fatwa yang
dikeluarkan olehnya. Beliau bukanlah seorang ulama yang mencari kebenaran untuk
dirinya sahaja, beliau hidup di dalam masyarakat. Beliau tidak menjual ilmu
yang dimiliki dengan harta benda dunia.
Beliau mencurahkan ilmu kepada masyarakat
ummat. Beliau memimpin umat bukan umat yang memimpin beliau. Mengeluarkan fatwa
tanpa memandang sesiapa, walaupun fatwanya itu meyusahkan kedudukannya. Inilah
contoh ulama pewaris nabi.
Sepanjang hayatnya banyak menulis,
mengarang, mengajar dan menasihat. Inilah yang telah mengangkat ketinggian
peribadinya dan dikagumi. Imam Nawawi wafat pada 24 Rejab 676 Hijrah ketika
berusia yang masih agak muda, iaitu 45 tahun, dan dimakamkan di Nawa.
Kitab-kitab Imam Nawawi yang terkenal:
- Syarah sahih muslim.
- Riyadhus Salihin.
- Al-Adzkaar.
- Al-Tibyan fi adab hamalat al-Quran.
- Al-Irsyad wa al-Taqrib fi ‘Ulum
al-Hadith.
- Al-Aidah fi Manasik al-Hajj.
- Al Majmu’ Syarah Muhazzab.
- Al-Raudah.
- Tahdhib al-Asma’ wa al-Lughat.
- Al-Minhajut Thalibin.
- Matan al-Arbain
Imam Nawawi dalam memberi fatwa tidak
mengikut kepentingan dirinya. Beliau sanggup menerima kesusahan demi memberi
fatwa yang tepat mengikut apa yang sepatutnya.
Sultan al-Malik al-Zahir telah mengadakan
persiapan perang untuk memerangi orang-orang Tatar (Monggol) lalu digunakanlah
fatwa ulama yang mengharuskan mengambil harta rakyat untuk kepentingan perang
melawan musuh.
Ulama fiqh negeri Syam telah menulis
menerangkan fatwa tersebut, tetapi baginda belum berasa senang hati kalau imam
Nawawi tidak memberi fatwanya. Lalu baginda bertitah “Masih adakah lagi orang
lain”. Lalu dijawab: “Masih ada, al-Syaikh Muhyiddin al-Nawawi”.
Kemudian baginda menjemput Imam Nawawi dan
meminta beliau memberi fatwanya bersama ulama fiqh mengenai pengambilan harta
rakyat untuk peperangan. Imam Nawawi berterus terang tidak mahu memberi
fatwanya dan enggan.
Baginda bertanya: “Apakah sebabnya beliau
enggan?” Lalu beliau memberi penjelasan mengapa beliau terpaksa menerangkan
sikapnya dan keenggannya memfatwakan sama seperti para ulama.
Beliau dalam penjelasan kepada baginda
menerangkan seperti berikut: " Ampun Tuanku! Adalah patik sememangnya
mengetahui dengan sesungguhnya bahwasanya tuanku adalah dahulunya seorang
tawanan tidak ada sebarang harta benda. Tetapi pertolongan Allah telah
dilimpahkan kurnianya kepada tuanku dengan dijadikan tuanku seorang raja."
"Ampun Tuanku! Adalah patik telah
mendengar bahawanya tuanku ada memiliki seribu orang hamab tiap-tiap seorang
ada mempunyai beberapa ketul emas. Manakala dua ratus orang khadam wanita milik
tunaku, masing-masing mempunyai perhiasan yang bernilai.
“Andaikata tuanku sendirian membelanjakan
kesemua itu untuk keperluan perang sehingga mereka tidak lagi mempunyai
barang-barang itu, maka patik bersedia memberi fatwa untuk membenarkan tuanku
mengambil harta rakyat."
Kesimpulannya, beliau berfatwa tidak
membenarkan baginda mengambil harta rakyat selama kekayaannya sendiri masih
dapat dipergunakan. Baginda al-Malik al-Zahir murka kepadanya kerana fatwanya
yang amat menggemparkan sehingga baginda mengeluarkan perintah supaya beliau
segera keluar dari Damsyik.
Imam Nawawi menerima perintah pengusirannya
itu dengan tenang, lalu keluar ke Nawa. Para ulama Syam telah berusaha
menjemput beliau balik semula ke Damsyik, tetapi beliau enggan dengan berkata:
“Saya tidak akan balik ke Damsyik selama baginda masih berkuasa”.
Gambar sekadar hiasan
No comments:
Post a Comment