Saturday, 23 July 2022

GOLONGAN LAYAK MENERIMA ZAKAT

 
Zakat wajib dikeluarkan apabila cukup nisab (had jumlah paling kecil) dan haul (genap satu tahun kiraan Tahun Hijrah). Jenis zakat yang dikeluarkan atau ditunaikan seperti zakat harta, zakat fitrah, zakat ternakan, zakat tanaman, zakat perniagaan dan zakat pendapatan.  

Zakat perlu diserahkan kepada golongan yang layak menerima zakat.  Sekiranya ia diserahkan kepada yang tidak layak, maka bahagian zakat diserahkan itu tidak sah dan dianggap sebagai sedekah atau hadiah.

Golongan yang layak menerima zakat atau dipanggil asnaf ialah sepertimana ditetapkan syarak:
- Fakir - orang yang tidak mempunyai harta atau pekerjaan sama sekali, atau orang yang mempunyai harta atau pekerjaan namun tidak mampu mencukupi keperluan asasnya.

-  Miskin – orang yang mempunyai harta atau pekerjaan yang tidak mampu mencukupi keperluan diri dan orang ditanggung nafkahnya, tetapi mencapai sekurang-kurangnya separuh daripada keperluan itu.

- Amil - orang-orang yang dilantik oleh pemerintah untuk menerima zakat bagi pihak kerajaan sebelum diagihkan kepada yang layak.  Syarat dilantik menjadi amil ialah, Islam, lelaki, merdeka, mukallaf, adil, boleh melihat, boleh mendengar dan memahami perkara berkaitan zakat.

- Muallaf - secara harfiyah, muallaf qulubuhum adalah orang-orang yang dipujuk  hatinya. Sedangkan orang-orang yang termasuk muallaf dan berhak menerima zakat adalah:
1 - Orang yang baru masuk Islam dan Iman (niat) nya masih lemah
2 - Orang yang baru masuk Islam dan imannya sudah kuat, namun dia mempunyai kemuliaan dikalangan kaumnya. Dengan memberikan zakat kepadanya, diharapkan kaumnya yang masih kafir mau masuk Islam.
3 - Orang Islam yang melindungi kaum muslimin dari gangguan dan keburukan orang-orang kafir
4 - Orang Islam yang membela kepentingan kaum muslimin dari kaum muslim yang lain yang dari golongan anti zakat atau pemberontak dan orang-orang non Islam.

Semua orang yang tergolong muallaf di atas berhak menerima zakat dengan syarat Islam. Sedangakan memujuk non muslim dengan menggunakan harta zakat itu tidak boleh.

- Hamba - Ar Riqab  – yang dijanjikan merdeka oleh tuannya apabila sudah membayar sebahagian jumlah tebusan yang ditentukan dengan cara ansuran.

Pada dasarnya ia bererti membebaskan seseorang itu daripada perhambaan. Bahagian ini adalah bertujuan untuk disumbangkan kepada usaha-usaha untuk menamatkan sistem atau amalan perhambaan.

Apabila amalan perhambaan secara tradisi sudah terhapus sepenuhnya sekarang, jamhul ulama bersetuju memfatwakan takrif Ar Riqab ini perlu diperluaskan.

Ar Riqab termasuk kepada pembebasan yang mencangkupi segala bentuk perhambaan dan penindasan yang ada seperti pembebasan dari belenggu kejahilan, pembebasan golongan lemah dari cengkaman orang-orang yang berkuasa dan pembebasan dari perhambaan ekonomi, politik dan sebagainya.

- Orang berhutang - Orang-orang berhutang yang layak menerima zakat ialah orang yang berhutang untuk faedah awam seperti untuk menghapuskan persengketaan dua pihak dan sebagainya.

Bagi individu yang berhutang untuk tujuan peribadi, mereka hanya boleh dimasukkan ke dalam asnaf ini dengan syarat beliau mestilah tidak memiliki harta dalam kadar yang mencukupi (haddul kifayah).

- Berjuang di jalan Allah - fisabilillah. - Ditafsirkan dalam konteks yang lebih luas iaitu segala bentuk usaha yang ikhlas bagi mencapai keredhaan Allah.  

Oleh itu ia merangkumi segala bentuk kebajikan seperti bantuan untuk peperangan menentang musuh Islam, bantuan kepada pelajar dan apa sahaja bentuk ketaatan dan pendekatan diri kepada Allah.

- Orang musafir. Iaitu orang-orang musafir yang dimaksudkan dengan musafir dalam konteks ini bukan sahaja orang yang sedang dalam perjalanan tetapi juga orang yang berniat untuk bermusafir.

Begitupun, musafir itu mestilah dengan tujuan bukan untuk melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam atau maksiat.

No comments:

Post a Comment