Saturday, 14 May 2022

KENYANG PUNCA MALAS LAKUKAN IBADAT

 
Selalu mengisi perut penuh dengan makanan memberi kesan buruk untuk kesihatan dan malapetaka kepada diri. 

Islam mengajar umatnya agar sederhana dalam soal makan. Banyak kebaikan dari segi rohani dan jasmani jika tidak makan berlebihan. 

Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada bekas yang dipenuhi oleh manusia lebih teruk dari perutnya. Cukuplah manusia itu memakan beberapa suapan yang menegakkan tulang tulang sulbinya. Jika dia tetap nak jugak makan banyak maka satu pertiga perutnya untuk makanan, satu pertiga minuman dan satu pertiga lagi dikosongkan." (Hadis riwayat Tirmizi dan Abu Daud) 

Keadaan lapar menyukarkan syaitan mempengaruhi menusia melakukan kejahatan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya syaitan lalu di dalam tubuh manusia seperti lalunya darah. Sempitkan laluan syaitan dengan lapar dan dahaga." (Hadis  Ibnu Abi ad-Dunya).

Kenyang di dunia memungkinkan seseorang menjadi lapar di akhirat. Nabi SAW bersabda: "Maka sesungguhnya orang yang paling lama lapar pada hari kiamat adalah orang yang paling banyak kenyang di dunia." (Hadis  riwayat Baihaqi dan Tirmizi) 

Lapar adalah sunnah Nabi SAW. Abu Hurairah berkata: "Nabi SAW dan ahli keluarganya tidak pernah kenyang selama tiga hari berturut dengan roti gandum sehinggalah baginda meninggal dunia." (Hadis riwayat Muslim).

Perut yang boroi tidak disukai Nabi SAW. Suatu hari Nabi SAW melihat kepada lelaki yang boroi perutnya. Maka Nabi SAW menunjukkan ke arah perut lelaki itu dengan jarinya, seraya bersabda: "Kalaulah makanan-makanan ini (yang menyebabkan perut boroi) diberikan kepada orang yang memerlukan adalah lebih baik."(Hadis riwayat Ahmad, Hakim dan Baihaqi)

Orang yang kuat makan tidak ada nilai di sisi Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: "Maka didatangkan pada hari kiamat seorang yang besar, panjang, kuat makan dan kuat minum tetapi apabila ditimbang amalannya tidak ada sebesar nilai sayap nyamuk pun di sisi Allah." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Abu Sulaiman ad-Darani telah menyebut beberapa keburukan akibat kekenyangan. Pertamanya kehilangan kemanisan bermunajat dan susah hendak mengahafal mutiara ilmu. Kekenyangan juga akan menyebabkan rasa kurang kasihan pada manusia lain kerana menganggap orang lain pun semuanya kenyang. 

Selain itu ia menyebabkan rasa malas beribadat serta bertambah nafsu syahwat. Orang-orang beriman sentiasa duduk di masjid dan orang-orang yang kenyang duduk di tempat-tempat kotor dan maksiat.

No comments:

Post a Comment