Tuesday 4 February 2020

KELAS PERTANIAN SMK KEDONDONG


Mata pelajaran vokasional (MPV) Secara ringkasnya MPV ni ialah subjek-subjek vokasional yang kini ditawarkan di sekolah-sekolah harian biasa. Kalau dulu pelajar yang ingin belajar kemahiran terpaksa ke sekolah vokasional tapi kini subjek-subjek ini ditawarkan di sekolah menengah harian biasa.

Antara subjek MPV ialah Rekaan dan Jahitan Pakaian, Automotif, Menservis Peralatan Elektrik Domestik, Landskap & Nurseri, Seni Reka Tanda dan Pertanian. Setiap sekolah cuma menawarkan satu atau dua subjek sahaja.

Kebiasaannya MPV ini ditawarkan untuk pelajar kelas-kelas belakang di setiap sekolah. Persepsi masyarakat bahawa matapelajaran vokasional ini hanya untuk pelajar-pelajar yang bodoh perlu diubah.

Sebenarnya kebanyakan pelajar yang berada di kelas belakang bukanlah disebabkan otak mereka lembab atau bodoh seperti tanggapan kebanyakan orang. Pelajar-pelajar ini sebenarnya tidak dapat menunjukkan kebolehan sebenar mereka kerana sebenarnya otak atau minat mereka bukan menjurus kepada akademik.

Salah satu sekolah yang menawarkan MPV ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kedondong, Pasir Mas. Di sekolah berkenaan MPV ditawarkan ialah Pertanian.

SMK Kedondong merupakan sekolah contoh bagi MPV Pertanian. Ia sering menjadi contoh kepada sekolah-sekolah lain. Kejayaan itu menjadikan sekolah tersebut sering dijadikan lokasi lawatan untuk dijadikan contoh.

Setiap tahun terdapat jenis tanaman berbeza diusahakan. Untuk tahun 2019 dan 2020 ini menjadikan tanaman Nanas MD2 sebagai projek mereka.

Projek yang dikenali Projek Transformasi Lalang ke Ladang (Nanas MD2) yang diusahakan oleh guru-guru dan pelajar-pelajar MPV Pertanian ini mendapat sokongan dan bantuan daripada Lembaga Nanas Malaysia. Sebanyak 24,000 benih pokok ditanam sejak April 2019, sekarang sedang menunggu masa untuk tuaian hasil fasa 1.

Selain hasil tuaian, yang lebih penting ialah hasil ilmu, kemahiran dan pengalaman telah diperoleh oleh para pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5. Pelajar-pelajar ini akan diberikan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap Satu (SKM1) dan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 (SKM2).

No comments:

Post a Comment