Thursday, 19 December 2019

REZEKI TANGKAP IKAN DARAT

Ikan darat bukan nama sejenis ikan. Sebaliknya ikan darat adalah merujuk kepada ikan-ikan air tawar. Dalam dialek Kelantan, ikan darat adalah nama umum untuk ikan air tawar.

Antara jenis ikan darat ialah keli, haruan, tembakang, puyu, limbat, tapah, patin, sepat, seluang, belida dan lampam.

Ikan darat tidak bermusim. Namun, biasanya ikan darat ditangkap sama ada menggunakan jala atau pukat pada musim banjir. Ketika musim banjir ikan darat 'galak' bermain air di tempat aliran air laju.

Ikan darat pada musim banjir akan keluar dari lubuk, sungai, baruh, paya dan tempat tinggal asal lain untuk merasai suasana bebas di kawasan banjir.

Ketika itulah, penangkap ikan akan mengambil peluang menebar jala mahupun menahan pukat. Ada juga yang menggunakan cara memancing.

Hasil yang lumayan berbanding biasa membolehkan ikan yang diperoleh dijual. Permintaan terhadap ikan darat pada musim banjir biasanya meningkat. Tambahan pula ketika itu ikan laut lebih mahal berbanding biasa disebabkan nelayan tidak turun ke laut akibat laut bergelora.

No comments:

Post a Comment