Di sini tercurah keringat dan kenangan. Sudah 33 tahun
berlalu. Banyak perkara yang sudah hilang dalam lipatan ingatan.
Namun, di sini masih ada kenangan yang masih boleh
dicatatkan. Di padang ini dan di kawasan sekitarnya banyak mengajar erti tidak
mudah menyerah kalah. Berusaha melakukan yang terbaik.
Di padang ini, tidak kira panas dan hujan, pagi, tengah hari dan malam, jika itu telah
dicatatkan di dalam jadual latihan, maka akan terjadilah.
Minggu-minggu pertama memang terasa peritnya. Guling ke
hadapan, guling ke kiri dan guling ke kanan terasa kekok dan sukar untuk
dilakukan. Rasa pening dan keluar muntah angin.
Di padang ini, kena pikul kawan di atas bahu, kawan duduk di
atas bahu dan kena jadi kuda itu sudah terbiasa.
Di sinilah juga dijadikan permulaan dan penamat bagi
aktiviti lasak yang memerlukan kerahan keringat yang bukan sedikit tumpah ke
bumi.
Diuji kekuatan mental dan fizikal, juga bagaimana semangat
setia kawan, kerjasama dalam kumpulan dan tidak mementingkan diri dipupuk.
Di sini hanya permulaan dan latihan, sedangkan di luar sana
adalah ujian sebenar.

No comments:
Post a Comment