Monday, 21 September 2026

BETING BERAS BASAH TEMPAT TABAL SULTAN

 
Beting Beras Basah tempat tabal sultan. Ia kawasan pantai pasir di muara Sungai Perak, di Kampung Sungai Ular dan Kampung Sungai Betul, Bagan Datuk, Perak yang menjadi lokasi bersejarah permulaan Kesultanan Perak.

Kawasan tersebut menjadi lokasi penting di mana Sultan Perak yang baharu ditabalkan perlu melakukan Istiadat Mencecah Kaki di Beting Beras Basah untuk menyempurnakan adat istiadat pertabalan. 

Kesultanan Perak bermula pada 1528, apabila Raja Mudzaffar dijemput menjadi Sultan Perak. Banginda merupakan putera kedua Sultan Mahmud Shah, Sultan Melaka yang terakhir, setelah kalah kepada Portugis pada 1511.  

Ketika bahtera dinaiki Raja Mudzaffar ingin mudik Sungai Perak, bahtera itu telah tersangkut di beting pasir yang sekarang dipanggil Beting Beras Basah. 

Setelah pelbagai usaha dilakukan dan tidak berjaya melapasi beting untuk masuk ke muara, lalu Raja Mudzaffar telah berseru: "Sekongkong Tanah Minangkabau, Selilit Pulau Perca, di lengkong ular Saktimuna, perpisahan Beta di selat Melaka, jika sah Beta Raja berdaulat, lepaslah sekalian malapetaka"

Selepas seruan baginda diucapkan. bahtera itu dapat bergerak memasuki Sungai Perak. Pada ketika itu, Orang-orang Besar dan beribu-ribu penduduk Perak yang menyambut baginda menyebut "Daulat Tuanku" tiga kali berturut-turut. 

Kemudian baginda diarak mudik Sungai Perak hingga ke tempat yang bernama Tanah Abang dan di situlah baginda ditabalkan menjadi Sultan Perak yang pertama.

Beting Beras Basah akan timbul ketika air surut dan tenggelam apabila air pasang. Di kawasan itu menarik dengan unsur alam semula jadi pemandangan matahari terbenam dan fenomena seperti cermin langit semasa air surut.

Kini, kawasan Beting Beras Basah dibangunkan sebagai lokasi ekopeloncongan yang menawarkan keindahan alam semula jadi flora dan fauna ekosistem hutan bakau.

No comments:

Post a Comment