Monday, 24 August 2026

SEJARAH MELEBUR BESI DI SUNGAI BATU

 
Sejarah melebur besi di Sungai Batu. Kawasan Sungai Batu, Sungai Petani, Kedah, lebih kurang 1,700 tahun lalu, telah menjadi lokasi menghasilkan besi dalam skala besar. Berabad-abad selepas itu, relau purba tempat melebur besi ini runtuh ditelan zaman sehinggalah tanah perlahan-lahan mengambus sisa titik peluh nenek moyang kita.

Namun, apabila kerja cari gali berskala besar dilancarkan di tapak Sungai Batu sekitar tahun 2009, orang kita yang mengkaji sejarah telah membongkar satu rahsia yang amat luar biasa.

Aktiviti melebur dilakukan dengan skala besar. Setakat ini lebih 17 buah tapak bengkel peleburan purba telah berjaya ditemui.

Mereka terjumpa lambakan bijih besi, sisa kotoran sanga, tiub tanah liat untuk mengepam angin, dan cebisan jongkong logam. Perkara yang paling menarik, bekalan mineral ini tidak diimport dari benua seberang.

Kajian mendalam mengesahkan bijih yang dilebur itu diambil dari perut bukit di kawasan berhampiran.  

Proses melebur biji besi menggunakan haba panas pembakaran arang yang dihasilkan daripada batang kayu terpilih. 

Besi yang telah dilebur kemudiannya dihantar ke pasaran luar melalui pengangkutan air. Kedudukan relau berhampiran sungai memudahkan proses berkenaan. 

Tentang tempoh sebenar umur tapak Sungai Batu ini, banyak pakar sejarah berselisih pendapat. Ada kajian yang merumuskan tinggalan jeti dan relau ini wujud sekitar abad kedua atau ketiga Masihi.

Ada pula rekod lain mendakwa cebisan arang dari tapak itu membuktikan industri ini sudah bernafas sekurang-kurangnya sejak abad keenam Sebelum Masihi.

Kajian lanjut dan perbahasan umur bagaimanapun tidak menidakkan tentang hebatnya aktiviti penghasilan besi di Sungai Batu.

Mereka menggunakan satu kaedah peleburan purba di mana bijih dipanaskan bersama arang di dalam relau, manakala angin dipam laju untuk meningkatkan suhu.

Di tapak Sungai Batu, bongkah jongkong besi ini memang banyak ditemui. Tetapi setakat hari ini, belum ada sesiapa menjumpai gudang senjata atau timbunan pedang siap yang membolehkan kita melabel tempat itu sebagai kilang senjata.

No comments:

Post a Comment