Jangan lupa kebaikan ketika bersama. Perkahwinan adalah satu institusi yang amat
berharga dan ia memerlukan pengorbanan, keikhlasan, serta kesabaran daripada
kedua-dua belah pihak.
Dalam perjalanan perkahwinan, tidak
dinafikan wujud badai dan ombak yang kadangkala menguji kekuatan sesebuah
hubungan dan setiap pasangan pasti pernah melalui cabaran itu.
Perceraian berlaku berpunca kegagalan suami
isteri melayari kehidupan berumah tangga seperti mana diharapkan. Mereka tidak
mampu untuk memenuhi kehendak pasangan masing-masing. Atau tidak lagi mampu
bertahan untuk hidup bersama yang mungkin mendatangkan kesan yang lebih buruk
jika perkahwinan itu diteruskan.
Islam mengingatkan bahawa perceraian itu
dibenarkan, tetapi ia adalah perkara yang paling dibenci oleh Allah SWT dalam
kalangan perkara yang halal.
Oleh itu, ia sewajarnya menjadi pilihan
terakhir setelah segala usaha untuk memperbaiki keadaan telah dilakukan.
Namun, jika perceraian adalah jalan yang
terbaik, lakukanlah dengan cara yang paling baik, menjaga maruah dan harga diri
masing-masing.
Pasangan suami isteri yang telah bercerai ditegah
mendedahkan aib bekas pasangan masing-masing. Tidak kisahlah sejahat mana atau
sebesar mana kesalahan itu, perkara itu tidak sepatutnya didedahkan.
Ketika membuat keputusan berkahwin tentu
sekali banyak perkara baik yang dilihat dimiliki bakal pasangan. Begitu juga
sepanjang bergelar suami isteri, tentu sekali ada saat bahagia dan kebaikan
yang dilakukankan oleh pasangan.
Jadi, jangan sama sekali menafikan kebaikan-kebaikan
yang pernah dibuat satu sama lain ketika bersama.
Ada kaedah asas diajar oleh al-Quran
melibatkan dua pihak yang pernah bersama sebagai pasangan suami isteri. Firman
Allah SWT bermaksud: "Janganlah kamu lupakan kebaikan sesama kamu"
(Surah al-Baqarah, ayat 237)
Sebarang aib dan kelemahan perlu disimpan
kerana tiada seorang pun yang sunyi daripada aib dan kelemahan.
Malah perlu diingat, suami isteri yang baru
bercerai masih dalam tempoh idah untuk bertenang dan muhasabah diri dan boleh
sahaja kembali sebagai suami isteri pada bila-bila masa dengan lafaz rujuk oleh
suami tanpa perlu akad nikah yang baru.
Selepas perceraian, setiap individu perlu
memberi ruang untuk masing-masing memulakan kehidupan baharu dengan cara yang
lebih baik, tanpa menyimpan dendam.
Ini kerana ketika cinta masih ada, segala
kekurangan tidak dihiraukan. Namun ketika perasaan berubah, kekurangan yang
kecil sekali pun menjadi hal yang diangkat-angkat.
Selain itu, sangat penting untuk sentiasa
menjaga hati anak-anak yang mungkin menjadi mangsa dalam perpisahan ibu bapa. Jangan
sekali-kali mencederakan emosi mereka kerana mereka juga mempunyai hak untuk
merasai kasih sayang kedua-dua ibu bapa.
No comments:
Post a Comment