Tuesday, 7 June 2022

BALASAN SEKSA MELAKUKAN ZINA

 
Rasulullah SAW ketika peristiwa Israk dan Mikraj diperlihatkan mengenai gambaran seksa bagi lelaki penzina. 

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Kemudian aku melihat beberapa lelaki memegang daging gemuk yang bermutu, di sebelahnya terdapat daging kurus yang sudah busuk. Mereka memakan daging busuk itu dan meninggalkan daging gemuk yang bermutu."

"Aku bertanya kepada Jibril: Siapakah mereka wahai Jibril? Jibril menjawab: Mereka adalah orang yang meninggalkan wanita yang sudah dihalalkan oleh Allah terhadap mereka (isteri) dan pergi kepada wanita yang diharamkan oleh terhadap mereka.” (Hadis riwayat Ibnu Ishak daripada Said al-Khudri)

Imam Syafie pernah berkata: "Hindarilah segala yang tidak patut dilakukan oleh seorang muslim. Zina adalah hutang, Jika engkau mengambilnya hutang, ketahuilah bahawa tebusannya adalah anggota keluargamu. Barangsiapa berzina, akan dizinai meskipun di dalam rumahnya. Camkanlah, jika engkau termasuk orang yang berakal."

Perbuatan zina menghilangkan kehormatan seorang gadis dan menyelimutinya dengan kehinaan, yang tidak hanya di tanggung seorang diri, tapi juga akan mencemari kehormatan keluarganya. Rasa hina itu akan berpengaruh terhadap keluarga, suami dan kerabatnya, sehingga membuat kepala-kepala mereka tertunduk malu di tengah masyarakat.

Punca berlaku zina ialah menonton video lucah. Perbuatan itu dikiaskan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Ditulis bagi setiap anak Adam bahagiannya daripada zina. Ia pasti melakukannya tanpa dapat dielakkan, zina mata adalah disebabkan pandangan, zina lisan adalah disebabkan berbicara, zina telinga adalah mendengar, zina tangan adalah menggunakannya, zina kaki apabila ia melangkah, jiwa berharap dan berhasrat, malulah yang membenarkan atau mendustakannya."

Sesungguhnya menonton filem lucah akan mendorong seseorang memikirkan mengenai apa yang dilihatnya itu, sekali gus menyebabkannya ingin melakukan adegan yang ditonton itu.

Untuk mengekang hawa nafsu, amalkan nasihat Rasulullah SAW yang bermaksud: “Wahai pemuda, sesiapa yang berkemampuan di kalangan kamu maka hendaklah dia berkahwin, sesiapa yang tidak berkemampuan maka hendaklah dia berpuasa, kerana ia akan bertindak sebagai benteng buatnya." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Selain itu hendaklah memenuhi masa lapang dengan kegiatan berfaedah agar jiwa yang kekosongan itu berisi dengan sempurna. Cubalah mendampingi ahli ilmu, terutama di kalangan ustaz yang soleh yang dapat membimbing saudara kepada keimanan dan jati diri Islam.

Sebagai tambahan, ambillah kesempatan untuk melakukan zikrullah dan doa pemelihara iman agar terselamat daripada fitnah dunia dan gangguan syaitan.

Pernah pada zaman Nabi seperti yang diriwayatkan dalam Musnad Ahmad, Nabi SAW mendoakan untuk seorang sahabat, yang gemar berzina dengan doa yang maksudnya: "Ya Allah, bersihkan hatinya, peliharalah kemaluannya dan berilah keampunan kepadanya".

Hasil doa Nabi itu sebagai sebuah mukjizat, pemuda itu bertukar menjadi seorang Muslim yang istiqamah dalam kebaikan seperti yang disampaikan oleh perawi hadis, Abu Umamah. Walaupun kes ini agak berbeza, tetapi konteksnya agak sama, mohonlah kepada Allah agar sentiasa diberikan kekuatan dan taufik-Nya.

No comments:

Post a Comment