Wednesday, 30 March 2022

WARNA KULIT BUKAN PENENTU KECANTIKAN

 
Amat mengejutkan apabila ada laporan seorang ibu tergamak meninggalkan bayi yang baharu dilahirkan bersama neneknya kerana warna kulit bayi itu gelap.

Tentu sekali satu sifat tidak bertamadun apabila pada era moden hari ini masih lagi ada manusia yang menilai orang berdasarkan warna kulit, lebih-lebih lagi zuriatnya sendiri.

Kejadian yang dilaporkan berlaku di negara ini tidak sepatutnya berlaku pada zaman moden kerana majoriti rakyat telah terdedah dengan pelbagai jenis ilmu.

Namun, mentaliti rakyat ternyata masih terperangkap dengan pernyataan ‘putih itu cantik’ atau ‘hitam itu jelek’ menyebabkan ia menjadi masalah besar.

Masih terdapat segelintir rakyat yang memegang mentaliti tersebut sehingga menjejaskan keyakinan diri.

Sebab itu, ada orang sanggup menggunakan kosmetik berbahaya semata-mata untuk kelihatan putih. Kosmetik pemutih dianggap paling laku dan menjadi keperluan setiap wanita berkulit hitam atau gelap untuk kelihatan putih.

Hakikatnya, berkulit hitam atau putih itu bukan satu masalah, sebaliknya masalah sebenar adalah kecenderungan menilai seseorang melalui warna kulit.

Malah, Raja Pop Dunia, Michael Jackson (MJ) juga telah menekankan perkara itu menerusi lagu nyanyiannya Black or White yang diterbitkan pada 1991.

Lagu yang dikarangnya itu jelas menentang isu ketidakadilan berpunca daripada warna kulit, sekali gus mengajak orang ramai supaya tidak melihat seseorang menerusi warna kulit.

Oleh itu, penting untuk kita menekankan perkara itu kepada generasi akan datang agar mereka tidak terperangkap sama dalam mentaliti yang tidak memberi manfaat. Ia langsung tidak menguntungkan sesiapa, malah boleh memporak-perandakan hubungan sesama manusia.

Hakikatnya, warna kulit itu hanya identiti sesuatu bangsa sedangkan perkara sebenar yang perlu ditekankan tatkala menilai orang adalah melihat potensi dirinya seperti seperti adab, moral dan ilmu dimiliki.

Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai manusia, kami ciptakan kamu lelaki dan perempuan, berbangsa-bangsa dan beretnik-etnik supaya kamu saling kenal-mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia (di akhirat kelak) di sisi Allah, adalah orang yang bertakwa dari kalangan kamu.” (Surah al-Hujurat, 13).

Ketika Khutbah al-Wida, Rasulullah SAW menekankan bahawa orang Arab tidak boleh dianggap lebih mulia berbanding bangsa lain. Di dunia, manusia adalah sama, tidak kira apa keturunan, kaum, bangsa dan warna kulit. Di akhirat pula, kemulian diukur berdasarkan ketakwaan mereka terhadap Tuhan ketika di dunia. (Tibrani, al-Mukjam al-Awsat, Hadis no: 4749).

Ayat al-Quran dan hadis itu menyebut mengenai warna kulit yang disebabkan kaum, hakikatnya ia merangkumi semua sebab, termasuk ada dari kaum atau keluarga yang sama tetapi warna kulit mereka berbeza, putih dan hitam.

Kepada berkulit putih tidak perlu perasan cantik, manakala yang berkulit hitam tidak perlu berasa diri tidak cantik. Cantik dan hodoh perkara subjektif yang dinilai berbeza oleh orang melihatnya. Sebenarnya, secantik-cantik manusia adalah yang berbudi bahasa.

 


No comments:

Post a Comment