Monday, 1 February 2021

PENGORBANAN MENDIDIK HAWA NAFSU

Dunia ini medan bagi segala amalan sama ada kebaikan atau keburukan. Setiap manusia diciptakan oleh Allah mempunyai nafsu. Nafsu yang ada pada manusia adalah ujian Allah.

Jika manusia mampu menguasai nafsunya bermakna dia berjalan mengatasi sebahagian besar daripada ujian Allah yang cukup berat. Sekiranya nafsu dididik ke arah kejahatan dan melalui sistem yang jahat, maka nafsu akan menjadi jahat dan liar.

Maka, akan lahirlah mereka yang mempunyai kepandaian, tetapi digunakan ke jalan yang salah. Ini amat bahaya kepada kehidupan manusia kerana masyarakat akan terdedah kepada kehancuran.

Justeru, nafsu perlu dikenali tahapnya agar mudah diperangi kerana nafsu secara fitrahnya akan membayangi kejahatan melainkan mereka yang mendapat rahmat daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT: "Sesungguhnya nafsu itu akan mendorong kepada kejahatan melainkan nafsu yang diberi rahmat oleh Allah SWT." (Surah Yusuf, ayat 53).

Ketika Rasulullah SAW dan sahabat balik dari peperangan Badar, Rasulullah SAW bersabda: "Sebenarnya kita baharu balik dari peperangan yang kecil kepada peperangan yang maha besar." Sahabat bertanya: "Apakah peperangan yang maha besar itu ya Rasulullah?" Jawab Baginda: "Perang melawan nafsu." (Hadis Riwayat Baihaqi).

Nafsu amarah tidak dapat dikawal dengan sempurna oleh hati, jika sekiranya hati tidak dapat dibantu oleh ilmu, hikmah kebijaksanaan dan akal. Jika gagal, maka hati akan binasa. Akibatnya, seseorang itu mudah terjerumus ke arah perbuatan yang melanggar syariat, tidak beradab, tidak berperikemanusiaan, bertindak sesuka hati, zalim serta pelbagai keburukan dan bencana kepada diri serta persekitaran.

Oleh itu, perjuangan menentang hawa nafsu dianggap suatu pengorbanan yang amat dihormati dan menjurus kepada jalan yang sebenar.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Mereka yang berjuang ke jalan Kami, nescaya Kami akan tunjukkan jalan Kami. Sesungguhnya Tuhan berserta dengan orang yang berbuat baik." (Surah al- Ankabut, ayat 69).

Sesiapa yang bermujahadah terhadap nafsu, akan ditingkatkan darjatnya kepada kedudukan yang lebih baik dan Allah akan memberi petunjuk kepada segala perkara kebaikan.

Maka, nafsu perlu dididik dan diasuh mengikut telunjuk iman kerana nafsu adalah musuh utama kepada manusia sebelum datangnya musuh kedua iaitu syaitan.

Nafsu adalah musuh dalaman sedangkan syaitan musuh luaran. Apabila nafsu sudah ditundukkan dan ia taat kepada perintah Allah maka baharu syaitan akan dapat dikalahkan.

No comments:

Post a Comment