Tuesday 8 October 2024

JANGAN LUPA KEBAIKAN KETIKA BERSAMA

 
Perkahwinan adalah satu institusi yang amat berharga dan ia memerlukan pengorbanan, keikhlasan, serta kesabaran daripada kedua-dua belah pihak.
 
Dalam perjalanan perkahwinan, tidak dinafikan wujud badai dan ombak yang kadangkala menguji kekuatan sesebuah hubungan dan setiap pasangan pasti pernah melalui cabaran itu.
 
Perceraian berlaku berpunca kegagalan suami isteri melayari kehidupan berumah tangga seperti mana diharapkan. Mereka tidak mampu untuk memenuhi kehendak pasangan masing-masing. Atau tidak lagi mampu bertahan untuk hidup bersama yang mungkin mendatangkan kesan yang lebih buruk jika perkahwinan itu diteruskan. 
 
Islam mengingatkan bahawa perceraian itu dibenarkan, tetapi ia adalah perkara yang paling dibenci oleh Allah SWT dalam kalangan perkara yang halal.
 
Oleh itu, ia sewajarnya menjadi pilihan terakhir setelah segala usaha untuk memperbaiki keadaan telah dilakukan.
 
Namun, jika perceraian adalah jalan yang terbaik, lakukanlah dengan cara yang paling baik, menjaga maruah dan harga diri masing-masing.
 
Pasangan suami isteri yang telah bercerai ditegah mendedahkan aib bekas pasangan masing-masing. Tidak kisahlah sejahat mana atau sebesar mana kesalahan itu, perkara itu tidak sepatutnya didedahkan.
 
Ketika membuat keputusan berkahwin tentu sekali banyak perkara baik yang dilihat dimiliki bakal pasangan. Begitu juga sepanjang bergelar suami isteri, tentu sekali ada saat bahagia dan kebaikan yang dilakukankan oleh pasangan.
 
Jadi, jangan sama sekali menafikan kebaikan-kebaikan yang pernah dibuat satu sama lain ketika bersama.
 
Ada kaedah asas diajar oleh al-Quran melibatkan dua pihak yang pernah bersama sebagai pasangan suami isteri. Firman Allah SWT bermaksud: "Janganlah kamu lupakan kebaikan sesama kamu" (Surah al-Baqarah, ayat 237)
 
Sebarang aib dan kelemahan perlu disimpan kerana tiada seorang pun yang sunyi daripada aib dan kelemahan.
 
Malah perlu diingat, suami isteri yang baru bercerai masih dalam tempoh idah untuk bertenang dan muhasabah diri dan boleh sahaja kembali sebagai suami isteri pada bila-bila masa dengan lafaz rujuk oleh suami tanpa perlu akad nikah yang baru.
 
Selepas perceraian, setiap individu perlu memberi ruang untuk masing-masing memulakan kehidupan baharu dengan cara yang lebih baik, tanpa menyimpan dendam.
 
Ini kerana ketika cinta masih ada, segala kekurangan tidak dihiraukan. Namun ketika perasaan berubah, kekurangan yang kecil sekali pun menjadi hal yang diangkat-angkat.
 
Selain itu, sangat penting untuk sentiasa menjaga hati anak-anak yang mungkin menjadi mangsa dalam perpisahan ibu bapa. Jangan sekali-kali mencederakan emosi mereka kerana mereka juga mempunyai hak untuk merasai kasih sayang kedua-dua ibu bapa.

No comments:

Post a Comment