Guna sisa usia untuk kebaikan. Ketika usia semakin lanjut, berikan
fokus kepada pemurnian diri, sumbangan bermakna kepada masyarakat, serta persediaan
rohani.
Sesungguhnya mati itu pasti. Sedangkan sepanjang hidup telah
melakukan banyak dosa. Untuk selamat daripada api neraka, perbaiki hubungan
dengan Pencipta melalui istighfar dan tingkatkan kualiti ibadah harian.
Jauh perjalanan banyak pengalaman yang dilalui. Gunakan
peluang masa dan tenaga yang masa ada untuk mengajar ilmu dan berkongsi
pengalaman dengan golongan muda. Jangan ilmu yang ada terputus manfaatnya
apabila kita mati.
Gunakan kebijaksanaan dan pengalaman hidup untuk membimbing
generasi muda atau mereka yang memerlukan. Itu juga satu amalan sedekah jariah
yang berkekalan selagi ilmu yang bermanfaat itu diamalkan dan diajarkan kepada
generasi seterusnya.
Perbanyakkan amalan kebajikan dengan menyalurkan bantuan
sama ada dalam bentuk tenaga, masa, atau harta kepada yang memerlukan.
Eratkan kembali hubungan kekeluargaan yang mungkin renggang akibat
selisih faham atau dahulunya terlalu sibuk dengan urusan kerja dan aktiviti
lain. Sentiasalah menyebarkan kasih sayang kepada ahli keluarga dan insan
sekeliling.
Pada masa yang sama jagalah kesihatan diri: Jaga amanah
tubuh badan dengan pemakanan sihat dan aktiviti fizikal agar sentiasa terus
bertenaga untuk berbakti dan dapat memanfaatkan sepenuhnya ruang masa yang
masih ada sebelum berangkat ke alam abadi.

No comments:
Post a Comment