Thursday, 27 February 2025

PENDERAAN, TANDA RUNTUH NILAI MORAL

 
Kes penderaan yang berlaku dalam masyarakat adalah lambang runtuhnya nilai moral, kasih sayang dan hilangnya sifat kemanusiaan dalam diri pelakunya. Pelaku tergamak menjadikan anak, rakan seasrama, pembantu rumah, malah ada yang sanggup melakukan terhadap ibu dan bapa sendiri sebagai mangsa dera. 

Manusia bertopengkan sifat binatang dan syaitan melakukan penderaan tanpa memikirkan kesan perbuatan itu terhadap mangsanya. Hal ini terjadi apabila mata kalbu (hati) telah buta daripada melihat nilai hidup sebagai manusia. 

Allah SWT menjelaskan tentang mata dan telinga kalbu yang memainkan peranan meletakkan seseorang kepada taraf insan dan membezakan seseorang daripada alam haiwan. 

Firman Allah SWT dalam surah al-Araf, ayat 79 bermaksud: “Mereka mempunyai kalbu tetapi tidak mengambil faham (berfikir) dengannya, mereka mempunyai mata tetapi tidak mahu melihat denganya dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak mendengar dengannya. Mereka itu adalah seperti binatang ternakan, malah mereka itu lebih sesat.”

Mata dan telinga yang dimaksudkan ayat di atas bukanlah mata dan telinga jasmani, tetapi merujuk kepada mata dan telinga kalbu. Kalbu yang telah dirasuk perasaan kebinatangan tidak takut hukum Allah SWT dan jauh sama sekali undang-undang ciptaan manusia.

Allah SWT mencipta manusia yang berlainan jantina, paras rupa, kekayaan dan kebolehan dengan tujuan agar manusia dapat berhubungan dalam suasana harmoni dan saling memerlukan antara satu sama lain. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai manusia!  Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu kenal mengenali antara satu sama lain. Yang lebih mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling takwa.” (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Penerapan amalan beragama dan perasaan kasih sayang adalah cara paling berkesan untuk mengatasi masalah kepincangan sosial. Agama Islam mengajar manusia melakukan kebaikan dan mencegah perbuatan mendatangkan keburukan. 

Salah satu elemen penting dalam ajaran Islam ialah mewujudkan perasaan kasih sayang melibatkan sesama manusia, terhadap binatang, tumbuhan dan alam semesta. Kasih sayang adalah tali yang mengikat memperkuatkan hubungan agar tidak melakukan perbuatan mendatangkan keburukan kepada pihak lain.

No comments:

Post a Comment