Sekolah Kebangsaan Sri Permai atau nama ringkasnya SK Sri Permai (SKSP) merupakan
sebuah sekolah kebangsaan yang terletak di Pos Pasik, Gua Musang, Kelantan.
SK Sri Permai terletak di kawasan pedalaman Orang Asli di
Kelantan. Sebelum ini SK Sri Permai dikenali sebagai SK Pos Pasik. Ia
kemudian telah ditukarkan kepada SK Sri Permai pada tahun 1998 kerana nama “pasik”
adalah tidak sesuai untuk sekolah yang gurunya seratus peratus orang Islam.
SK Sri Permai terletak di tepi Sungai Jenera, berdekatan
dengan sempadan Kelantan Perak. Di sebelak Perak, ia adalah kawasan Sungai
Siput, Perak.
Sekolah ini dibina pada tahun 1973 dan murid-muridnya adalah
terdiri daripada kalangan anak-anak orang Asli suku Temiar dari kampung-kampung
berhampiran seperti seperti Kampung Bering, Kampung Pasik dan Pos Gob.
Asalnya, SK Sri Permai ditadbir dan diuruskan oleh Jabatan Hal
Ehwal Orang Asli (JHEOA). Namun, pada 1 Januari 1996, SK Sri Permai telah
diambil alih oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sepenuhnya.
SK Sri Permai terletak kira-kira 80 kilometer (km) dari bandar
Gua Musang dan kira-kira 214 km dari bandar Kota Bharu.
Perjalanan dari Gua Musang ke SK Sri Permai melalui jalan
bertar sejauh 46 km dan selebihnya jalan tanah merah atau jalan lori balak
balak sejauh 34 km. Perjalanan masuk ke sekolah hanyalah dengan
menggunakan kenderaan pacuan 4 roda (4x4) atau motosikal sahaja yang memakan
masa selama 2 hingga 4 jam bergantung kepada keadaan cuaca.
No comments:
Post a Comment