Wednesday 26 July 2023

PERBUATAAN HASUT MAYA BERSIFAT KETERLALUAN

 
Perbuatan troll atau hasut maya semakin menjadi perhatian sehingga dianggap budaya baharu media sosial apabila warganet menggunakannya untuk menyatakan perasaan dan emosi yang mengheret masyarakat ke medan perbalahan.
 
Gejala itu dilihat lebih menimbulkan banyak keburukan dan kemudaratan kerana dibimbangi mewujudkan persengketaan, sekali gus menyebabkan perpecahan dalam masyarakat.
 
Islam menegah dan melarang sesuatu perbuatan yang boleh membawa kepada kemudaratan kepada umat. Budaya hasut maya tidak sesuai dalam masyarakat kita yang terkenal dengan ketinggian budaya timur yang penuh dengan kesantunan, apatah lagi Islam melarang kita melakukan perbuatan negatif.
 
Sekiranya ia bersifat keterlaluan seperti menyindir dalam bentuk serangan peribadi dan membuka aib seseorang tentu hukumnya haram. Islam menegah kita daripada membuka aib kerana ia bersifat peribadi.  
 
Mendedahkan aib individu boleh dianggap sebagai tidak bermaruah malah boleh mencetuskan pertelingkahan antara individu dan masyarakat.
 
Memang dalam sebahagian situasi tertentu, aib boleh didedah atau diberitahu tetapi ia membabitkan soal akhlak dan perbuatan sebagai peringatan serta teladan kepada yang lain. Ia juga boleh didedahkan di mahkamah demi mencari kebenaran. Namun, sekiranya dengan niat menjatuhkan dan memalukan seseorang, ia perlu dijauhi.
 
Budaya hasut maya di media sosial boleh disifatkan seperti perbuatan baling batu sorok tangan yang tindakan itu dianggap tidak bertanggungjawab. Banyak yang menggunakan akaun palsu di media sosial semata-mata untuk melakukan hasut maya. Mereka tidak berani untuk menggunakan identiti diri sebenar.
 
Apabila ia disebarkan di media sosial dan terus tersimpan di internet, pihak yang terbabit akan menanggung dosa berterusan selama mana tersimpan dan terus tersebar. Dan jika telah dipadamkan, perbuatan dosa itu berkekalan selagi ia tidak dimaafkan oleh orang yang diaibkan itu, lebih-lebih lagi ia bersifat fitnah.
 
Kita tidak sewajarnya berlagak alim dan suci semata-mata untuk menjatuhkan maruah orang lain. Mengapa perlu kita melakukan sesuatu yang ditegah agama hanya disebabkan berlainan pendapat atau parti politik.
 
Sikap berlagak alim dan suci adalah sifat syaitan yang berasa dirinya lebih baik. Sedangkan apa yang diketahuinya hanya sedikit dan masih terdedah dengan pelbagai kelemahan.
 
Rasulullah SAW telah bersabda: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam.” (Hadis riwayat Bukhari)

No comments:

Post a Comment