Thursday 16 September 2021

SEJARAH REJIMEN RENJER DIRAJA

Rejimen Renjer Diraja (RRD) adalah salah satu pasukan tempur infantri di dalam Tentera Darat Malaysia (TDM). Pasukan ini terkenal dengan cogan kata "Agi Hidup Agi Ngelaban" yang berasal daripada bahasa Iban yang bermaksud "Selagi Ada Hayat, Selagi Itulah Berjuang".

Cogan kata ini berasal daripada moto keluarga Brooke iaitu "Whilst there is life, there is fight" dan digunakan oleh Sarawak Rangers. Cogan kata "Agi Hidup Agi Ngelaban" adalah dianggap sebagai keramat bagi bekas-bekas pegawai dan anggota Renjer kerana ia telah banyak menyemarakkan semangat mereka apabila bertempur dengan musuh.

RRD adalah pasukan elemen tempur TDM, bersama-sama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Sempadan (RS) dan Kor Amor Diraja (KAD).

RRD adalah rejimen yang kedua terbesar dalam TDM. Rejimen ini merupakan satu rejimen yang amat unik di mana dianggotai oleh pelbagai kaum dan agama.

Pada awalnya, rejimen ini secara majoritinya dianggotai oleh kaum pribumi Sabah dan Sarawak dan beberapa orang pegawai British. Semenjak daripada itu, keanggotaan rejimen telah dibuka kepada masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Kehadiran kaum pribumi memberi identiti tersendiri bagi RRD dan menjadikan ia kaya dengan pelbagai kebudayaan yang tidak terdapat dalam rejimen-rejimen lain.

RRD mempunyai asal usulnya dalam pembentukan pasukan Sarawak Rangers dalam abad ke-19 oleh Kerajaan Brooke di Sarawak untuk menjaga keamaan di kawasan pedalaman di Sarawak.

Pada tahun 1862, satu pasukan Sarawak Renjers seramai 120 orang anggota ditubuhkan di Kuching di bawah pimpinan Mejar W.H Rodway. Anggota-anggota pasukan ini diambil di kalangan bumiputera Sarawak dan ditambah dengan anggota dari kaum India dan kaum Jawa. Pasukan ini mempunyai pusat latihan di Kuching.

Penubuhan Malaysia pada 16 September 1963, membawa kepada pembubaran Sarawak Ranjers. Pada tarikh tersebut juga maka dengan rasminya tertubuh Batalion Pertama RRD. Pada ketika itu ia dikenali Batalion Pertama Renjer Malaysia.

Tarikh tersebut juga menjadi ulang tahun penubuhan RRD yang disambut setiap tahun.

Nama Renjer Malaysia ditukar menjadi Rejimen Renjer pada tahun 1971. Rejimen Renjer mendapat gelaran ‘diraja’ pada tahun 1992 menjadikan ia dikenali Rejimen Renjer Diraja (RRD).

RRD merupakan satu-satunya rejimen tetap TDM yang dibenarkan menggunakan  "hackle' sebagai sebahagian daripada pakaian seragam mereka sebagai satu simbol penghormatan yang tidak terdapat di dalam rejimen-rejimen TDM yang lain.

RRD menggunakan hackle berwarna hitam. Pada masa yang sama juga, pegawai dan anggota RRD akan menggunakan butang baju berwarna hitam apabila memakai pakaian kerja (pakaian nombor 3).

No comments:

Post a Comment